"SEORANG INSAN GURU"
“Sekolah sebagai sebuah organisasi formal, mempunyai ciri-ciri organisasi kompleks yang lazimnya wujud seperti hari ini. Ia mempunyai matlamat, khususnya untuk menghasilkan manusia terdidik dan berguna kepada negara.” (Rahimah Hj. Ahmad, 1982: 75.)
Situasi ini amat bertepatan untuk merujuk kepada, “Guru yang berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin”. (Falsafah Pendidikan Guru Malaysia)
Aspirasi diri SEORANG INSAN GURU ini selanjutnya diperhalusi melalui frasa-frasa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Hal ini diungkap dengan menyatakan bahawa “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Bagi maksud tersebut, SEORANG INSAN GURU mestilah merupakan seorang insan yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran dan kelulusan dalam bidang pilihannya. Sebaliknya, SEORANG INSAN GURU itu perlu mempunyai pemikiran yang positif, berdaya saing, bersemangat juang, berfikiran terbuka. Selain itu, mereka juga mesti memiliki kebolehan mengawal emosi, keupayaan menyerap tekanan dan banyak lagi elemen dalam mendepani arus dunia pendidikan semasa. SEORANG INSAN GURU bukan sahaja akan berhadapan dengan karenah murid -murid khususnya di sekolah rendah, tetapi mereka perlu berhadapan dengan pelbagai karenah ibu-bapa murid, rakan-rakan guru dan komuniti setempat. Seterusnya, elemen keperluan melaksanakan tugas 'demi kepentingan perkhidmatan' sering meletakan diri SEORANG INSAN GURU sebagai 'saya yang menurut perintah' semestinya juga ditangani dengan penuh kebijaksanaan.
Hal ini menjelaskan bahawa, selain memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada murid-murid menurut kandungan sukatan pelajaran KBSR/ DSKP-KSSR menerusi proses/sesi pengajaran dan pembelajaran, tetapi SEORANG INSA GURU turut diberikan amanah, kepercayaan dan harapan bagi melaksanakan penerapan nilai-nilai murni kemanusiaan dan kehidupan. Nilai-nilai murni ini, semestinya akan mempengaruhi pembentukan serta perubahan tingkah laku murid dalam amalan bertingkah laku ke arah mencapai hasrat untuk melahirkan murid yang sedar tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Situasi ini secara langsung membenarkan tafsiran bahawa nilai-nilai murni” adalah sifat/unsur akliah tertinggi dengan merujuk kepada kehendak agama, masyarakat dan pemikiran rasional dalam proses pembentukan seorang manusia sempurna dan berguna.
Ringkasnya, frasa keberkesanan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan murid melalui sistem pendidikan adalah merupakan suatu aktiviti/kegiatan bersistematik yang menjadi tanggungjawab di bawah cakupan bidang tugas SEORANG INSAN GURU.
Manakala frasa pembentukkan dan perubahan tingkah laku murid pula hendaklah dirujuk sebagai impak/ pengaruh kepada penghasilan sesuatu tingkah laku baru daripada tingkah laku sedia ada dalam kalangan murid oleh SEORANG INSAN GURU. Situasi ini, boleh dilihat secara korelasinya melalui kebiasaan murid melaksanakan sesuatu tindakan/perkara samada dengan atau tanpa pertimbangan bijak/sempurna yang terhasil dari aktiviti penerapan nilai murni yang dijalankan SEORANG INSAN GURU.
Sekian...........
** Tiga perkara yang memenuhi kewujudan seorang manusia: Kerja, Keinginan dan Kejayaan.....
-NUKILAN GB SKPJJ-
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi komen..........